Thursday 25 August 2011

Ramadhan pergi ditangisi, Syawal datang disyukuri

Hari ini Mhni berkesempatan diberi peluang mendengar ceramah Ustaz Wan anjuran BAKIM. Memang bersemangat Ustaz sampaikan ceramah. Sungguh bertenaga, Subhanallah, indahnya iman yang dia rasakan boleh terpancar dari air muka. Beliau qiam di Ipoh jam 3 pagi, sampai di Shah Alam mengimami Solat Sunat Tasbih, kemudian ke MKM untuk bagi ceramah pula. Hikmah puasa yang berkah, tidak sedikitpun penat dirasakan. Ceramah Ustaz pun memang kelakar sangat,di samping pengisian ilmu, peringatan, alunan bacaan ayat-ayat suci Allah, Ustaz Wan turut mengalunkan zikir-zikir taubat. Syahdu rasa... Sedikit perkongsian yang Mhni dapat dari ceramah Ustaz tadi untuk peringatan buat diri kita yang sentiasa lupa.

Mengapa puasa kita tidak menjana taqwa kepada Allah?
1. Tabiat berbuka puasa.
Kita tidak berbuka puasa mengikut sunnah, 3 biji kurma dengan air segelas, kemudian solat maghrib hinggalah terawih, baru makan semula. Tabiat memenuhkan perut ini sebenarnya kayu pengukur ketidakseimbangan neraca iman dan nafsu kita. Neraca nafsu lebih berat dari neraca iman mengakibatkan kita puasa kita hanya sekadar beberapa jam sahaja. Berakhirnya puasa, kita kembali kepada fitrah yang sukakan kepada perut yang kenyang hingga tidak menjana ketaqwaan kita kepada Allah.

2. Mentaliti kita terhadap Ramadhan dan Aidilfitri
Aidilfitri lebih diperhebatkan berbanding Ramadhan. Pada zaman Rasululllah dan para sahabat dahulu, semakin hampir pengakhiran Ramdhan, semakin penuh dan padat masjid diimarahkan, semakin ramai yang beriktiqaf. Tetapi terbalik dengan kita, semakin hampir kepada Syawal, semakin kita sibuk dengan persiapan Aidilfitri. 

Moga Ramadhan yang masih bersisa ini menjadi rebutan untuk kita memohon keampunan dari Allah. Lakukanlah segala persiapan Raya di waktu siang, hidupkanlah malam-malam terakhir ini dengan memperbanyakkan amalan kita. 

Antara pesanan Ustaz Wan yang masinh terngiang-terngiang di halwa telinga Mhni, andai kata mereka yang di dalam kubur itu boleh bangun dan berkata-kata, pastinya mereka memohon kita untuk tidak tidur malam di Ramadhan. Setiap amalan kita direct dapat pada dia. 

Terkenang pada arwah ayah, atok Daimah, atok Alip, arwah ayah mertua (walaupun tiada peluang untuk bertemunya)..

Ya Allah, Kau kuatkanlah azamku untuk memanfaatkan malam-malam terakhir Ramadhan yang Kau anugerahkan kepadaku, janganlah Engkau bolak balikkan hatiku Ya Allah. Berilah aku peluang untuk menghadiahkan sebanyak-banyak doa dan amalanku untuk mereka yang telah pergi Ya Allah..Amiin..

No comments:

Post a Comment