Thursday 25 August 2011

Ramadhan pergi ditangisi, Syawal datang disyukuri

Hari ini Mhni berkesempatan diberi peluang mendengar ceramah Ustaz Wan anjuran BAKIM. Memang bersemangat Ustaz sampaikan ceramah. Sungguh bertenaga, Subhanallah, indahnya iman yang dia rasakan boleh terpancar dari air muka. Beliau qiam di Ipoh jam 3 pagi, sampai di Shah Alam mengimami Solat Sunat Tasbih, kemudian ke MKM untuk bagi ceramah pula. Hikmah puasa yang berkah, tidak sedikitpun penat dirasakan. Ceramah Ustaz pun memang kelakar sangat,di samping pengisian ilmu, peringatan, alunan bacaan ayat-ayat suci Allah, Ustaz Wan turut mengalunkan zikir-zikir taubat. Syahdu rasa... Sedikit perkongsian yang Mhni dapat dari ceramah Ustaz tadi untuk peringatan buat diri kita yang sentiasa lupa.

Mengapa puasa kita tidak menjana taqwa kepada Allah?
1. Tabiat berbuka puasa.
Kita tidak berbuka puasa mengikut sunnah, 3 biji kurma dengan air segelas, kemudian solat maghrib hinggalah terawih, baru makan semula. Tabiat memenuhkan perut ini sebenarnya kayu pengukur ketidakseimbangan neraca iman dan nafsu kita. Neraca nafsu lebih berat dari neraca iman mengakibatkan kita puasa kita hanya sekadar beberapa jam sahaja. Berakhirnya puasa, kita kembali kepada fitrah yang sukakan kepada perut yang kenyang hingga tidak menjana ketaqwaan kita kepada Allah.

2. Mentaliti kita terhadap Ramadhan dan Aidilfitri
Aidilfitri lebih diperhebatkan berbanding Ramadhan. Pada zaman Rasululllah dan para sahabat dahulu, semakin hampir pengakhiran Ramdhan, semakin penuh dan padat masjid diimarahkan, semakin ramai yang beriktiqaf. Tetapi terbalik dengan kita, semakin hampir kepada Syawal, semakin kita sibuk dengan persiapan Aidilfitri. 

Moga Ramadhan yang masih bersisa ini menjadi rebutan untuk kita memohon keampunan dari Allah. Lakukanlah segala persiapan Raya di waktu siang, hidupkanlah malam-malam terakhir ini dengan memperbanyakkan amalan kita. 

Antara pesanan Ustaz Wan yang masinh terngiang-terngiang di halwa telinga Mhni, andai kata mereka yang di dalam kubur itu boleh bangun dan berkata-kata, pastinya mereka memohon kita untuk tidak tidur malam di Ramadhan. Setiap amalan kita direct dapat pada dia. 

Terkenang pada arwah ayah, atok Daimah, atok Alip, arwah ayah mertua (walaupun tiada peluang untuk bertemunya)..

Ya Allah, Kau kuatkanlah azamku untuk memanfaatkan malam-malam terakhir Ramadhan yang Kau anugerahkan kepadaku, janganlah Engkau bolak balikkan hatiku Ya Allah. Berilah aku peluang untuk menghadiahkan sebanyak-banyak doa dan amalanku untuk mereka yang telah pergi Ya Allah..Amiin..

Wednesday 24 August 2011

Posing Raya

Sebelum bercuti raya, semua warga Unit Komunikasi Korporat dan Tadbiran Akademik (UKKTA) ber'posing' sakan untuk buat e-kad raya kepada semua warga Maktab Koperasi Malaysia (MKM).

Mhni pun posing juga sebagai practice nak posing time raya nanti..Heheheheh.

Warga UKKTA

Lihatlah perut mak yong tu

Ladies

Tuesday 23 August 2011

Kontraksi Braxton Hicks

Apakah itu kontraksi Braxton Hicks?

Satu masa pada pertengahan kehamilan anda (atau lebih awal), anda akan merasakan otot uterus (rahim) anda mengecut. Jika anda meletakkan tangan pada perut semasa ini berlaku, anda boleh merasa betapa kerasnya uterus anda pada saat itu.

Setiap pengecutan hanyalah untuk setengah minit sahaja, dan barangkali anda tidak berasa tak selesa. Anda mungkin mengalami sensasi ini satu atau dua kali dalam satu jam, pada masa-masa tertentu dalam sehari. Bukan semua kita akan merasakan kontraksi-kontraksi ini, yang mengambil nama seorang doktor bangsa Inggeris yang mula mendeskripsikannya dalam tahun 1872.

Apakah tujuan kontraksi Braxton Hicks?

Kontraksi Braxton Hicks mungkin petanda yang uterus anda sedang melatih serat-serat ototnya. Mungkin kontraksi-kontraksi itu adalah cara uterus anda menjaga keadaan baik dan bersedia untuk bekerja keras bila tiba masa bersalin.

Ada pakar-pakar yang berpendapat bahawa kontraksi-kontraksi mempengaruhi serviks anda. Pada peringkat awal kelahiran, serviks anda mula memendek dan menjadi lebih lembut sebagai persediaan untuk mengembang bagi menyenangkan perjalanan bayi. Jadi mungkin kontraksi Braxton Hicks adalah cara serviks dilatih bagi peringkat ini.

Yang lain pula percaya bahawa kontraksi Braxton Hicks tidak membawa perubahan kepada serviks dan juga percaya bahawa perubahan hanya berlaku semasa pra-kelahiran, apabila kontraksi yang berkoordinasi bermula atau semasa proses kelahiran itu sendiri.

Bagaimana untuk saya mengetahui perbezaan antara Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar?

Kebanyakan wanita yang hamil buat pertama kali akan bertanya soalan ini kepada doktor atau rakan-rakan, dan jawapannya selalu kabur dan tidak memuaskan: "Anda akan tahu akan kelahiran sebenar apabila ianya berlaku."

Memang ada perbezaan antara kontraksi Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar.

Kontraksi Braxton Hicks:
  • biasanya tidak melebihi satu atau dua kali dalam masa sejam, beberapa kali sehari;
  • lazimnya berhenti bila anda bertukar aktiviti, jadi pergilah berjalan kalau anda berduduk, dan sebaliknya;
  • tidak teratur, dan jika teratur pun hanya untuk sekejap sahaja;
  • tidak tahan lama, biasanya kurang dari satu minit;
  • terus tidak boleh diduga dan tidak beritma;
  • tidak bertambah intensiti.
Dibanding dengan kontraksi Braxton Hicks, kontraksi yang sebenar:
  • tahan lama;
  • lebih teratur;
  • lebih kerap;
  • lebih menyakitkan;
  • lebih panjang dan lebih berkala, lebih kerap dan lebih sakit.

Anda mungkin juga mengalami sakit kelahiran palsu. Ini berlaku bila kontraksi Braxton Hicks lebih beritma, iaitu mungkin setiap 10 hingga 20 minit pada peringkat terakhir kehamilan.

Mungkin sukar bagi anda membeza sakit kelahiran palsu dengan yang benar, terutamanya jika kerengangan uterus sungguh tidak selesa. Tetapi, sakit kelahiran palsu tidak akan membawakan sebarang perubahan pada serviks anda. Doktor anda boleh membuat pemeriksaan vagina untuk menentukan.

Apa akan jadi jika kontraksi Braxton Hicks menjadi lebih sakit?

Apabila kehamilan anda berlalu, kontraksi ini mungkin menjadi lebih sakit dan kadangkala amat tidak selesa. Walau bagaimanapun, jika anda merasakan kontraksi anda menjadi reda dengan cara apapun, kemungkinan besar ianya Braxton Hicks.

Setengah profesional kesihatan mengesyorkan supaya anda menganggap Braxton Hicks sebagai "kontraksi latihan" bukan saja bagi uterus anda, juga bagi anda sendiri supaya boleh berlatih menggunakan latihan pernafasan yang anda akan memperolehi di kelas antenatal anda.

Anda mungkin sedar yang kontraksi datang dengan lebih kerap jika anda melakukan aktiviti fizikal walaupun ringan, seperti membawa barang beli-belah dari kereta. Jika anda merasa kurang selesa, kadangkala ianya membantu jika anda berbaring, atau sebaliknya, bangun dan pergi berjalan-jalan - perubahan aktivitilah yang akan meredakan sebarang kesakitan yang dirasakan. Kadangkala mandi air panas juga membantu.

Bilakah saya harus memanggil doktor?

Jika anda hamil kurang dari 37 minggu panggillah doktor anda jika kontraksi diikuti oleh:
  • lelehan yang melekit dan berdarah;
  • sakit pinggang atau kekejangan.
Ini semua adalah tanda-tanda yang menunjukkan kelahiran pramatang.

Selepas 37 minggu, panggil doktor anda jika: Rujuk simptom-simptom kehamilan anda tidak harus abaikan.

Jika kontraksi menjadi lebih panjang dan kuat, lebih berkala dan kerap, ini menunjukkan proses kelahiran mungkin sudah bermula. Doktor anda mungkin sudah bercakap dengan anda tentang apa harus dilakukan apabila anda merasakan yang kelahiran sudah bermula, tetapi jika anda merasakan sebarang keraguan, hubungilah dia. 

Sumber: www.babycenter.com.my

Monday 22 August 2011

Pengisian di masa lapang

Kamera baru beli Jumaat lepas (19hb Ogos 2011) ni masih belum di'explore' lagi. Semalam Mhni pun mula menggodek kamera untuk belajar functions yang ada. Kat bawah ni disertakan beberapa gambar yang Mhni dapat rakamkan.

Sedutan dari Diari Hamil, fasa Mhni sekarang

Antara koleksi zirafah yang Kak Yan bagi Mhni. Ada banyak lagi baju baby yang dia bagi (tersorok kat belah kanan tu satu bakul baju dengan cloth diaper..)


Fetus progress masa 19hb Julai 2011. Dr. Jamilah cakap anak sihat, aktif, gambar yang mula-mula scan cantik sangat, nampak jelas semua anggota badan, berat fetus waktu ni 1.2 kg. Mhni terus cakap, "Alamak, beratlah tu kan Doktor?" Dr. Jamilah senyum. (Dalam hati Mhni, tak apalah baby, yang penting masa nak keluar nanti jangan besar sampai 4 kg ya, nanti bahu tak lepas pulak, almaklum ibu ni punggung comei je..)


Sunday 21 August 2011

Berpantang keguguran

Kelmarin Mhni mendapat berita seorang sahabat mengalami keguguran dan bertanyakan pengalaman Mhni berpantang. Insya Allah, di sini juga Mhni kongsikan kepada umum teknik berpantang keguguran yang Mhni pernah buat dahulu dengan nasihat beberapa orang bidan dan mereka yang pernah mengalaminya.

Pemakanan
1. Terbalik daripada pantang bersalin, tidak boleh sama sekali makan makanan yang panas dan pedas. Contoh: lada hitam, jamu, halia dsb. Tempoh: 30 hari.
2. Dilarang makan makanan yang menjalar dan bersengat. Contoh: pegaga dan keli. Tempoh: 30 hari.
3. Minum air lobak putih bagi mereka yang tidak buat D&C. Tempoh: 1 minggu.
4. Makan asid folik yang ada iron dan mineral lain, lebih kurang harga RM20++ sepapan di farmasi. Tempoh: Sehingga disahkan hamil sekali lagi, baru boleh bertukar kepada asid folik biasa.

Fizikal
1. Mandi air suam. Tempoh: 30 hari
2. Dilarang bersama suami. Tempoh: 90 hari. (Nak ber'manja-manja' pun tidak digalakkan terutamanya 1 bulan pertama kerana air mazi yang keluar nanti akan bercampur darah akibat rahim masih lagi mengalami luka)
3. Berurut sebulan sekali. Urutan pertama mestilah selepas seminggu keguguran. Urutan pula perlu dibuat seluruh badan oleh bidan profesional (urutan sengkak perut akan dilakukan oleh bidan).
4. Pakai stoking tebal sentiasa. Tempoh: 3 bulan.
5. Dilarang membuat kerja-kerja berat seperti proses mengangkat bebanan dsb.
6. Jaga ibu jari kaki, tidak boleh tersadung atau terlanggar apa-apa bagi mengelakkan bentan. Sekiranya ini berlaku, segera berurut dengan bidan.

Harapan Mhni, semoga panduan ini sedikit sebanyak boleh membantu mereka yang mengalami keguguran ataupun berkongsi dengan sahabat-sahabat lain. Insya Allah.

Abang, cuba teka?

Minggu lepas, masa lapang yang duduk rumah sorang-sorang, Mhni ambil beberapa gambar guna handphone (yang tidak canggih itu) dan gelak seorang diri. Hik hik hik...

Tidak lama lepas tu, Encik Abang balik, dia pun duduk sebelah. Terus Mhni tanya, "Abang, cuba teka ni gambar apa?"

8 months cutie bear



Encik Abang pun cakap, "Gambar bear".. Mhni jawab dengan gelak mengekek-ngekek.. "Salah...Ini lah gambar baby dalam perut Sayang," jawab Mhni sambil gelak..

Encik Abang cakap sambil senyum, "Apa kena lah bini aku ni.." Hahaha... Inilah hiburan Mhni.. Nak buat macam mana, memang bear tu betul-betul terletak kat posisi baby.. (",)

Alhamdulillah, kamera yang diidamkan sudah berada di dalam genggaman. Lepas ni blog Mhni akan ada gambar yang lebih kualiti dan menceriakan..heheheh... Paling best lagi, boleh ambil gambar raya banyak-banyak.. Peluang merakamkan diri sendiri beraya dengan baju mengandung kali ni, memang tak boleh dilepaskan..

My little caliph in the womb, please make sure you behave 'cutely' there okay. We are going to be the hottest mom-to-be and son-to-be ever.

Thursday 18 August 2011

Ramadhan ke 18

Alhamdulillah, Ramadhan sudah pun menjejaki hari ke 18. Alhamdulillah, Mhni masih diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah puasa dan terawih. 

Sesuatu yang normal bagi ibu mengandung apabila menghadapi masalah kencing kotor. Kekurangan air membuatkan masalah tersebut berlaku. Namun, ianya bukanlah satu masalah yang besar, hanya perlu pastikan Syawal perlu minum air yang banyak untuk tambahkan cecair dalam badan. 

Melalui pembacaan Mhni dalam babycenter.com, pada usia kandungan 8 bulan ni, ibu akan rasa fetus kurang bergerak kerana ruang yang semakin sempit. Tetapi adalah normal sekiranya dapat merasakan 10 kali pergerakan fetus dari jam 9 pagi hingga 8 malam. 

Mempunyai baby yang aktif, Mhni merasa pergerakannya hampir setiap setengah jam. Berkeriuk-keriuk perut apabila fetus berpusing. Subhanallah.. Mhni dan Encik Abang tunggu-tunggu juga kalau ada nampak tapak kaki kat perut, tapi masih belum lagi. Dengan berat yang semakin bertambah, tekanan berat jatuh di bahagian punggung dan pinggang. Alhamdulillah, kaki Mhni tiada masalah bengkak dan masalah kaki kejang pun semakin berkurangan. Sesekali masa sujud memang terasa senak di bahagian ulu hati, almaklum, kaki di bahagian atas, menusuk ulu hati kita, rasa seperti terbakar. 

Tapi tidak mengapa... Inilah keindahan ciptaan Allah :) Tanda kekuasaanNya. Ajaibnya, masa bulan puasa ni, hB semakin naik. Alhamdulillah. Baby dalam perut ni pun memang excited bila hampir nak berbuka. Kalau Mhni letih dan senak perut, Mhni beli lauk siap untuk berbuka. Encik Abang pun kesian juga tengok Mhni yang masak sambil pegang perut dengan pinggang. Jalan pun dah macam sarat sangat.. Nak buat macam mana, memang si kecil ni nonstop pusing melompat-lompat kalau Mhni masak. Encik Abang pun senyum bila Mhni tunjuk perut yang bergerak-gerak tu.

Lauk kesukaan Mhni dan Encik Abang untuk berbuka ni, beli dengan Makcik di simpang tiga berhampiran rumah. Pajeri nenas makcik ni best in town. Rasa macam nak minta resepi. Memang lain rasanya. Encik Abang pun cakap memang makcik tu punya pajeri nenas marvellous.

Encik Abang dah pilih nama si kecil ni. Mhni pilih satu nama, Encik Abang pilih satu nama. Hopefully, si kecil dalam perut ni jadi seperti apa yang kami harapkan melalui nama yang akan diberi tu nanti. Insya Allah..

Tiba-tiba rasa berdebar pulak bila dah masuk 8 bulan ni..hmmmm

Sunday 14 August 2011

Sepotong doa, harapan ibu

EM19
32 weeks = 8 months


“Ya Allah, peliharalah anakku selama ia berada di dalam perutku, dan selamatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan-Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia dengan rupa yang baik, dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan Rasul-Mu.

Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat. Ya Allah, jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah panjangkanlah umurnya sihatkanlah badannya, dan baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad SAW, dan segala puji bagi Tuhan semesta alam.”

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"

Ameen Ya Rabbal Alamin...

Tribute to Jannatul Maa'wa for a nice doa

0586920MY

Friday 12 August 2011

Nukilan Buat Ibu Mertuaku...

Assalamualaikum Mak..

Maaf ya mak, tahun ni tak dapat balik beraya kat Serandu. Risau pulak terbersalin tengah jalan sebab waktu raya nanti dah 8 bulan setengah. 

Tapi mak jangan risau ya. Mhni kirim kat Adik Aie kuih raya, beg raya, duit raya. Memang pemberian ni tak seberapa, cuma harap mak dapat terima dengan gembira. 

Mungkin Mhni tak dapat balik lama mak.. Sebab lepas raya, standby bersalin pulak, pastu pantang.. Sampailah Raya Haji, masih belum habis pantang. 

Mhni jemput mak datang rumah kat Semerah ya. Insya Allah kalau tak ada apa aral, semuanya selamat, Majlis Aqiqah nak buat sekali dengan Majlis Khatam Quran Kak Long yang duduk depan rumah saya tu 11hb Nov 2011. Bolehlah mak tinggal Semerah lama sikit. Datanglah dengan Zimi sekali. 

Selamat Hari Raya ya mak.. Maaf Zahir dan Batin.. Moga mak sentiasa dalam lingkungan kesejahteraan dan dipelihara Allah. Ameen..

Sayang Mak :)

Thursday 11 August 2011

Ramadhan fasa kedua

Alhamdulillah, Ramadhan dah memasuki 20 hari terakhir. Ya, Allah, Kau kuatkanlah semangatku untuk istiqomah melaksanakan ibadah terhadapMu dan andai ini Ramadhan terakhir buatku, Kau ampunilah dosa-dosaku..Ameen.

Ramadhan yang dilalui juga semakin hari semakin menyeronokkan, lebih bertenaga berbanding di awal Ramadhan. Azam Ramadhan yang berbaki ni nak tamatkan baca Novel Cinta Allah yang terjemahannya. Moga apa yang Allah wartakan kepada hambaNya dapat Mhni jadikan amalan dan panduan. Alhamdulillah juga, baby sihat, masih aktif, kalau dipanggil mesti dia 'menyahut' :) Maha Suci Allah yang menjadikan segala apa yang ada di langit dan di bumi. 

Memasuki minggu ke-32, pastinya semakin hari semakin berdebar menantikan saat kelahiran si comel ke dunia. Subhanallah.. Allah bagi anugerah ini pada Mhni dan Encik Abang setelah kami mengenali hati budi masing-masing hampir 2 tahun lamanya. Menyesuaikan diri, toleransi, bergurau senda, bertikam lidah, semuanya merupakan satu fitrah sebagai suami isteri yang mematangkan kami berdua. Ada sahabat memberikan pandangan, lima tahun pertama perkahwinan ada dua kebarangkalian utama:
1. Kalau lima tahun pertama dipenuhi 'peperangan', tahun berikutnya akan dipenuhi dengan kasih sayang
2. Kalau lima tahun pertama dipenuhi dengan keceriaan, tahun berikutnya akan dipenuhi dengan ujian.

Walaubagaimanapun, semua itu hanyalah perbidalan manusia. Percaturan Maha Esa pasti lebih indah dan ada hikmah disebaliknya. Menjadi yang terbaik dan memastikan setiap perkara yang berlaku adalah sempurna bukanlah sesuatu yang pasti. Ianya perlu diusahakan setiap hari, malah setiap saat. Proses ini memang kadangkala membosankan, apatah lagi, hidup bekeluarga sendiri lebih lama dari kita hidup dengan ibu bapa kita tanpa ada insan yang membesar seusia bersama kita. 

Be creative! Sesekali ciptalah 'surprise' buat pasangan dan keluarga kita. Mhni masih ingat bila Mhni pergi bercuti untuk seminar di Genting, bermalam di Marriot Hotel, naik flight berjalan-jalan kat negeri orang tinggalkan Encik Abang di rumah. Encik Abang tak pernah sekali pun dalam hidup dia merasa seperti tu. Encik Abang pernah tanya, "Pegi Genting tu boleh tak bawak suami?", Mhni jawab, "Tak Abang, kalau oversea tu yang bawak suami, dalam Malaysia tak..." 

Mengingatkan harapan yang pernah Mhni tanamkan dalam jiwanya, walaupun Mhni masih belum dapat bawak Encik Abang ke luar negara lagi, Mhni tunaikan juga impian Encik Abang yang tidak pernah menaiki kapal terbang dengan menghadiahkan beliau tiket penerbangan ke Kuching, penginapan 7 hari, 6 malam di sana dengan Emak dan Emak Mertua sekali :) Encik Abang pada mulanya agak terkejut. Tapi lepas tu dia cakap, "Kenapa Sayang tak tempah tiket ke Indonesia? Jauh sikit". It's a compliment actually. Encik Abang suka, tapi kalau dah namanya lelaki, memang macam tu cara dia menyampaikan rasa gembira.



Insya Allah tahun depan kami berlima akan ke Kuching cuti sakan plus celebrate our 3rd anniversary. Baby pun kalau tiada aral melintang, dah 5 bulan waktu tu. Ya Allah, berilah kami kesihatan dan murahkanlah rezeki kami. 

Bahagia dan gembira ibu, bahagia dan gembira suami, bahagia dan gembira lah kita, sang isteri :) Insya Allah


Wednesday 10 August 2011

Kekanda Adinda by Monoloque ft Atilia




Oh Kekanda
Jangan iri hati, Dinda naik pangkat lagi
Oh Adinda
Kanda mana dengki, malah Kanda support bini

Jadi Dinda mahu mengambil masa
Tapi Kanda mahu segera
Dinda ingin berjaya dalam kerjaya
Tapi Kanda mahu cahaya mata

Dinda belum bersedia
Kanda dah beria ria
Jadi yang mana satu
Tak perlu bertengkar
Tak perlu bermasam muka

Oh Adinda, tolong jangan lekas curiga, lekas cemburu buta
Oh Kekanda, Dinda perlu berhati-hati, tak rela dikongsi

Kanda kerja overtime, terlebih masa
Itu yang Dinda harus berwaspada
Ini semua demi masa depan keluarga
Dengan Dinda atau sebaliknya

Kanda kerja malam
Dinda kerja siang
Jadi bila nak bertemu

Tak perlu bertengkar
Tak perlu bermasam muka


Oh adiwira, dewataku, mari ikut cara Dinda
Oh Tun Teja, intan permata, mari ikut cara Kanda
Oh bagaimana? Bagaimana kita nak selesaikannya?
Apa keputusannya?

Oh Kekanda mari nyawa, kita cuba komunikasi
Oh Adinda mari sayang, kita cuba toleransi

Walau kita janji sehidup semati, kita berlainan
Kanda polar kutub utara
Dinda kutub selatan
Komunikasi, sikap toleransi, itu yang kita perlu
Tak perlu bertengkar
Tak perlu bermasam muka


Walau kita sering dengan cara masing-masing
Kanda yang Perdana
Dinda yang Utama
Kanda segalanya
Dindalah nyawa
Kita tetap bahagia bila bersama sama
Bahagia bersama
Bersama selamanya
Bahagia selama-lamanya

I love u Encik Abang :)

Monday 8 August 2011

10% Education Account & 10% Recreation Account

Bulan Ogos ini, Mhni membelanjakan peruntukan Akaun Pendidikan Mhni pada Buku Manik Labuci yang dibeli dari http://zalmilah.blogspot.com :) Yeah!!! Esok lusa dapatlah buku ni.

Matlamat utama Mhni raya tahun ni ialah nak beraya dengan baju maternity yang berlabuci dan bermanik bersama-sama Fara dan Emak. Bukan selalu dapat peluang beraya dengan perut yang memboyot. Seumur hidup belum tentu dapat sekali. Baju maternity Mhni pula semestinya hasil jahitan Emak yang halus tu :) Kami bertiga yang perempuan sepakat memakai jubah (Fara dengan Emak pun pakai baju ala maternity, cuma kurang kedut macam Mhni punya.. Owh..sungguh chomel..) untuk raya tahun ini.

Untuk peruntukan Akaun Rekreasi pula, Mhni peruntukan duit untuk beli make-up. Boleh gitu :) Survey telah dibuat untuk beberapa jenis make-up yang boleh menaikkan seri mak buyung di pagi raya ;p hik hik hik excited sangat...

Apa yang menjana semangat raya Mhni tahun ini? (Baru 9 hari berpuasa pulak tu)
1. Raya di kampung sendiri. Dah 2 tahun berturut-turut raya pertama kat kampung Encik Abang. Bila balik kampung sendiri, semua saudara dah balik. Tahun lepas kira beruntunglah sebab dapat pergi Marhaban ramai-ramai round semua saudara yang ada. Jangan tak percaya, sekali Marhaban, ada lebih dari 10 buah kereta. Dah macam hantar rombongan kahwin tau. Meriahnya beraya di Johor tidak tergambar oleh kata-kata. 


2. Raya bersama si kecil kat dalam perut ni. Niat di hati memang nak beraya sakan, tapi si kecil ni aktif sangat. Kalau di pejabat masa kerja tengah menimbun, Mhni jalan sana sini, memang menegang perut sebab si kecil ni pun nak gerak juga. Agaknya dia rasa tak ada ruang kot. Kalau tak beraya sakan pun tak apa, dah puas outstation, berjalan sana sini sejak usia kandungan 2 bulan lebih lagi. In fact, kandungan masuk 7 bulan pun Mhni pergi ke Penang balik hari naik bas. Ada Berani? hehehehe...

3. Raya paling lama yang pernah Mhni nikmati semenjak bekerja. Kenapa? Sebab cuti raya macam biasalah seminggu. Lepas tu, cuti balik untuk stanby bersalin pertengahan Syawal. Last kerja sebelum kontrak disambung semula 12hb September ni. Maknanya bolehlah terguling-guling kat rumah KL dulu sebelum 15hb September. Then kat kampung pun, dah ada plan. Nak belajar dengan Sifu Jahit (Emak lah tu) gunting dengan menjahit baju lelaki. Yeah!!! Saya Suka! Saya Suka! :) So, raya tahun depan, tak perlu susahkan Emak jahit baju En Abang dan si kecil ni. Mission next raya: Satu family pakai baju hasil tangan Mhni. Waahhh... Kak Zalmiah, peruntukan education account Mhni bulan depan ialah Buku Jahitan Baju Kanak-Kanak pula. Kindly reserve one for me ek.

Suddenly I love blogging..Really wish to own a camera to capture all those unforgetable moment..Encik Abang, boleh ke bagi hadiah kamera masa hari jadi Puan Sayang?

Ramadhan ke 9

Alhamdulillah, syukur..

Melepasi Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terindah dalam hidup Mhni kerana berpuasa bersama si kecik yang dalam perut. Kerisauan tidak mampu berpuasa ketika mengandung trimester ketiga ini hanyalah suatu retorik yang harus di'nyah'kan dari fikiran kita. Kuasai minda, positif diri, pujuk hati (dan baby), yakini yang kita boleh melakukan. Allah ada bersama-sama kita, malahan tidak pernah zalim. 

Antara turutan menu berbuka dan bersahur yang Mhni amalkan ialah:
  • Berbuka dengan kurma terlebih dahulu (3 biji lebih baik)
  • Minum air 2 gelas
  • Makan kuih 3-4 biji
  • Minum air lagi 1 gelas
  • Solat maghrib
  • Makan nasi 1 senduk dengan lauk yang sederhana (yang penting sayur mesti ada)
  • Minum air segelas
  • Masa terawih, standby air di sebelah. Setiap kali habis salam minum air 3 kali teguk. Ulang dari solat Isya' sampailah habis witir
  • Bangun jam 5.00 pagi terus minum air segelas
  • Sahur mesti nasi 1 senduk juga, dengan lauk2 secara sederhana.
  • Minum air sebanyak-banyaknya sampailah nak masuk waktu Subuh
Kenapa perlu minum banyak air? Selain dari suhu badan wanita mengandung yang meningkat berikutan peningkatan hormon, air membantu melancarkan perjalanan darah. Kekurangan air boleh mengakibatkan kita pitam. Karbohidrat juga penting bagi ibu mengandung. Tenaga yang digunakan akan diambil melalui karbohidrat yang kita makan, kalau kita tidak mengambil kaborhidrat semasa sahur dan berbuka, tenaga yang digunakan untuk aktiviti seharian kita menggunakan protein yang diambil dari otot kita. Kita akan rasa lemah longlai tidak bermaya kerana tenaga digunakan dari sumber yang tidak sepatutnya. 
Sewaktu menjalani ibadah puasa yang ke 5, Mhni bersahur hanya dengan kurma, cocoa crunch dan susu. Akibatnya, sampai rumah menggeletar, rasa pangkal peha nak tercabut je...huhuu..ditambah pulak dengan mengharungi jammed dari jam 4.30 petang sampai 7.00 malam. Orang yang tak mengandung pun akan terasa cramp inikan lagi Mhni. So, sebagai langkah berjaga-jaga, Mhni standby roti dengan mentega kacang. Seriklah tak bersahur dengan karbohidrat.

Kepada sahabat-sahabat yang sedang hamil dan menjalani ibadah berpuasa Ramadhan ini, berusahalah! Kita pasti boleh. Katakan pada baby anda, "Anak ibu baik, rajin puasa, sabar... Nanti berbuka, anak ibu nak makan apa, bagitau ye. Ibu belikan"

Boleh gitu? :)

Merancang keperluan kelahiran bayi

Kelahiran cahayamata merupakan suatu perkara yang sangat dinanti-nanti oleh semua ibu bapa terutamanya bagi mereka yang melahirkan anak pertama. Pastinya pelbagai persiapan perlu dibuat memandangkan anak pertama tiada pakaian 'generasi' yang diwariskan oleh kakak atau abangnya. 

Justeru itu, sukalah Mhni berkongsi antara persiapan yang Mhni dan suami lakukan berdasarkan beberapa pembacaan, pengalaman dari orang tua dan kawan-kawan serta perancangan bersama mengikut keadaan kewangan semasa kami.
Berikut adalah senarai semak keperluan bayi baru lahir yang Mhni buat setelah berbincang dengan Encik Abang:

Pakaian bayi
a. Baju lengan panjang + seluar panjang
b. Baju lengan pendek + seluar pendek
c. Rompers
d. Sarung tangan + sarung kaki
e. Topi + sarung tangan + sarung kaki
f. Barut 
g. Bedung
 
 
Mandian
a. Set mandian
b. Tuala muka
c. Tuala mandi
d. Tab mandian bayi
 
 
Lampin

a. Cloth diaper
b. Pelapik microfibre
c. Bamboo insert
d. Liner (100pcs)
e. Wet tissue
f. Beg lampin
 
 
Penjagaan diri
a. Bedak bayi
b. Losyen bayi
c. Minyak bayi
d. Minyak telon
e. Sikat, pemotong kuku
f. Thermometer
 
 
Tidur
a. Tilam
b. Bantal
c. Sarung tilam + sarung bantal
d. Selimut
 
 
Penyusuan
a. Breastpump
b. Breastmilk storage bottle
c. Cooler bag
d. Ice pack of 3
e. Botol susu
f. Puting
g. Bra pads
h. Nursing bra
i. Sleep bra

 
 
Outing
a. Sling
b. Stroller
c. Baby car seat
 

Wednesday 3 August 2011

Money matters

Six rules of managing our $

From our net income (after deduction of EPF and SOCSO and plus any other side income), invest:
1. 10% for Financial Freedom Account
2. 10% for Long Term Expenses Account
3. 10% for Education Account
4. Max 55% for Household Expenses Account
5. 10% for Recreational Account
6. 5% for Charity Account

1. Financial Freedom Account
- is an account that you save your money to settle your debts one day when you retire

2. Long Term Expenses Account
- is an account that you save your money to buy something needed (but not urgent) eg. car deposit, house loan deposit, laptop, etc.

3. Education Account
- is an account that you spend your money to educate yourself, upgrading your knowledge. It may be attending seminar, buy books or magazines etc.

4. Household Expenses
- is an account that you spend for your house rental, car monthly installment, credit card, petrol etc.

5. Recreational Account
- is an account that you spend your money to appreciate yourself. For example, you can use this allocation to treat your family at 5star restaurant etc.

6. Charity Account
- is an account that you spend to thank Allah for giving you the rezqi..Alhamdulillah

Think before you act and buy, Spend necessaries only, not indulgence

First Entry

Bismillahir Rahmaanir Raahim...

Selama ini, Mhni cuma baca blog orang lain. Tidak nampak sebarang keperluan mahupun faedah di sebalik blogging ni sehingga membaca blog seseorang yang telah membuatkan Mhni berfikir, blog merupakan luahan memori yang boleh dikompilasikan untuk tatapan generasi Mhni akan datang. Selama ini, mungkin disebabkan tiada kemudahan Internet, mahupun kamera untuk memuatkan gambar-gambar, membuatkan blog ini tiada apa yang menarik bagi Mhni. 

But then, Mhni percaya blog ini merupakan saluran untuk Mhni sampaikan perjalanan hidup mahupun perkongsian beberapa ilmu yang diperolehi daripada aktiviti menghadiri kelas-kelas seminar motivasi yang dihadiri sebulan sekali (at least) kepada umum. 

Harapan Mhni, moga sedikit ilmu yang saya perolehi di luar sana, dapat dikongsikan kepada semua yang membaca di sini (sungguhpun Mhni expect tidak lah ramai follower, almaklum siapalah Mhni ni nak ada follower blogger). Ilmu yang dikongsikan di sini juga untuk peringatan buat diri sendiri yang selalu alpa dan terleka. 

Ya Allah, sekiranya urusan ini baik bagiku dan sahabat-sahabat lain, Kau permudahkanlah Ya Allah..
dan kiranya urusan ini hanyalah sia-sia bagiku dan sahabat-sahabat lain, Kau perjauhkanlah ia Ya Allah..
Ameen..