Wednesday 7 September 2011

Keperluan ibu bersalin

Sebelum ini Mhni ada senaraikan keperluan bayi baru lahir mengikut kemampuan dan keperluan yang telah dibincangkan bersama Encik Abang. Entry kali ini Mhni letakkan keperluan ibu bersalin pula. Keperluan ini berbeza mengikut kehendak ibu terutamanya dari segi berpantang. Walaubagaimana berbeza kaedah berpantang yang hendak diamalkan, berpantang adalah 'wajib' bagi seorang ibu yang bersalin mahupun keguguran terutamanya anak pertama. Kesihatan ibu semasa berpantang adalah penentu kesihatan anak-anak dan suami kita akan datang. 

Berikut adalah beberapa petua yang Mhni kompilasikan berdasarkan beberapa bacaan dan rujukan kawan dan saudara mara Mhni:
1. Persiapan bakal ibu di hospital
  • Keperluan pakaian - Panties (yang diguna masa mengandung sebab perut masih belum kempis lagi), nursing bra, blaus, kain batik, pad, stoking, sweater/cardigan.
  • Keperluan penjagaan diri - Sabun mandi, shampoo, tuala dsb (bawa travel kit lebih mudah sebab bukan duduk hospital berminggu-minggu pun). Tidak dilupakan sandal dan selipar tandas.
  • Keperluan ubat-ubatan - minyak urut atau losyen mustajab, krim stretchmark (just in case), minyak angin biasa atau balm (minyak urut sapu kat kaki sebelum pakai stoking, balm tu buat sapu kat kepala kalau pening), kalau boleh beli spirulina untuk ganti tenaga yang hilang semasa melahirkan.
  • Keperluan makanan - biskut kering, milo atau susu sachet (jangan lupa bawa termos). Jangan terkejut kalau lepas makan setengah jam kita akan rasa lapar lagi :)
2. Persiapan berpantang
  • Pengambilan jamu - pilihan terletak pada individu samada jamu tradisional (serbuk dan ubat periuk) atau kapsul. Mhni pilih jamu serbuk (Emak yang suruh pun..huhuu..) Jamu tablet pun mak bidan ada sediakan kalau kita nak. 
  • Param, pillis, bertungku, urut dan semua yang seangkatan dengannya - serahkan pada mak bidan saja. Lebih mudah dan praktikal. Kalau ikut tradisi berpantang di Johor, mengurut perlu dibuat keesokannya selepas bersalin, kalau di Pahang, tunggu luka jahitan vagina pulih baru urut. Rujuklah mak bidan yang kita sudah tempah tu untuk lebih lanjut. 
  • Bengkung - ada bengkung moden dan tradisional. Kalau berpantang di rumah dengan ada penjaga, lebih elok guna bengkung lama yang manual 7 meter tu. Kalau berpantang sendiri, belilah korset yang bersilang-silang tu untuk lebih mudah. 
3. Penanaman uri / tembuni bayi
  • Antara perkara yang kita selalu terlepas pandang ialah penanaman uri / tembuni. Sekiranya kita tidak berpesan dengan doktor lebih awal, mereka akan menganggap uri itu diserahkan kepada hospital dan tidak perlu dibawa pulang. Hati-hati ya kawan-kawan, uri bayi telah digunakan secara meluas sebagai bahan kosmetik kerana kandungan kolagennya (if I'm not mistaken) yang tinggi. Uri adalah 'sahabat' yang telah menyalurkan makanan kepada anak kita, jadi, adalah tidak wajar ia sewenang-wenangnya dijadikan bahan kosmetik yang kita pakai. 
  • Kebanyakan bidan kampung tahu cara basuhan dan penanaman uri bayi, cuma kita perlu nyatakan hasrat kita untuk minta bantuan mereka. Bidan Mhni juga sudah menyatakan barang-barang yang digunakan untuk membasuh dan menanam bayi seperti ragi, periuk tembikar dll. Pengeras Mak Bidan pulak untuk basuh uri, sepasang kain :) 
  • Zaman Mhni budak-budak dulu, uri ditanam di bawah rumah dengan dipagar dengan buluh yang dah diraut halus bagi mengelakkan digali binatang. Selain itu, pelita kecil juga diletakkan di dalam kawasan yang dipagar tadi bagi mengelakkan binatang menghampiri 'kubur' uri tadi. Kalau dulu-dulu siap tanam uri dengan pensil, kata orang tua-tua, nanti anak pandai menulis. Adik Mhni bagi cadangan letak kalkulator bagi anak pandai Matematik :) kelakar je..heheheh
4. Aqiqah
  • Hukumnya sunat. Kalau kita ada niat atau hajat nak buat aqiqah, kena buat juga, bukan apa, takut niat kita tanpa disedari jadi nazar (yang boleh jatuh hukum wajib)
  • Yang tidak sunat ialah cukur jambul. Seperkara yang kita kena faham, cukur jambul tidak ada dalam Islam, yang diharuskan, selepas melaksanakan Aqiqah, rambut bayi dicukur semua sekali, ditimbang dan dinilai dengan emas. Nilaiannya itu disedekahkan kepada fakir miskin.
Senarai ini hanyalah untuk panduan bersama. Ada tambahan atau komen bolehlah diajukan untuk penambahbaikan :)

No comments:

Post a Comment